
PRN MELAKA: PENGALAMAN DEKATI MASYARAKAT JADI KEKUATAN ABDUL HAKIM
LENDU 7 November – Pengalaman luas mendekati masyarakat serta keprihatinan terhadap kebajikan penduduk menjadi antara ciri yang dihargai penduduk terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Penduduk setempat, Salmiah Mohd Sharil, 66, berkata, dia sudah lama mengenali Abdul Hakim dan melihat calon berkenaan sebagai individu yang mudah didekati, mengambil berat dan tidak kekok bergaul dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, pengalaman Abdul Hakim yang pernah berkhidmat di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut membentuk pendekatan beliau dalam mendekati penduduk serta memahami keperluan komuniti setempat.
“Dari dahulu lagi kita tahu beliau memang suka ambil berat dan rajin menziarahi masyarakat. Beliau tidak kekok bercampur dengan orang kampung kerana sudah terbiasa dengan gerak kerja sedemikian.
“Sebab itulah kami memang menyokong penuh beliau kerana sudah tahu corak dan cara kerjanya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Kacau Wajik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lendu, di sini, pada Khamis.
Mengulas penganjuran program berkenaan, Salmiah berkata, majlis santai itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai penduduk hadir untuk bersama-sama memeriahkan suasana.
Katanya, kehadiran jentera PAS dalam program berkenaan turut memperlihatkan kerjasama antara kedua-dua parti di peringkat komuniti, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Tambahnya, kerjasama itu juga dijangka berterusan menerusi penyertaan jentera BN dalam program anjuran PAS pada masa akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


