
38 PENIAGA RAIH MANFAAT, BAZAR DEEPAVALI RANCAKKAN EKONOMI LITTLE INDIA
BANDA HILIR 7 November – Seramai 38 peniaga mengambil bahagian dalam Bazar Deepavali di Little India yang berlangsung sehingga 7 November, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat menjelang sambutan Pesta Cahaya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, bazar anjuran Persatuan Sahabat Murni Melaka itu turut menjadi tarikan pengunjung pelbagai kaum yang mengambil peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan perayaan.
Menurutnya, sambutan positif yang diterima menunjukkan penganjuran program berasaskan perayaan bukan sahaja mampu menghidupkan suasana kawasan tumpuan pelancongan, malah menggalakkan interaksi masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Alhamdulillah, saya melihat sambutan yang sangat positif daripada pengunjung dan bukan sahaja masyarakat India, malah kaum lain turut datang mengambil kesempatan membeli pelbagai barangan termasuk kuih-muih dan pakaian.
“Ini menunjukkan bazar tahunan seperti ini bukan hanya tertumpu kepada satu kaum, sebaliknya turut menjadi platform yang menggalakkan interaksi masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas sesi tinjauan mesra Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bazar Deepavali di Little India, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi MIC Melaka, Datuk VP Shanmugam serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, maklum balas yang diterima daripada peniaga selepas bazar beroperasi selama seminggu juga amat positif, khususnya berikutan kehadiran pengunjung yang menggalakkan.
Katanya, kedudukan bazar berhampiran kawasan tumpuan pelancongan memberikan kelebihan kepada peniaga untuk menarik lebih ramai pelanggan, termasuk pelancong dan pengunjung dari luar Melaka.
“Lokasi bazar yang berhampiran kawasan tumpuan pelancongan turut memberikan kelebihan dalam menarik kehadiran pengunjung termasuk pelancong dan masyarakat luar Melaka, sekali gus memberi peluang kepada peniaga memperluas pasaran.
“Bazar ini menghimpunkan kira-kira 38 peniaga, majoritinya peserta sama seperti penganjuran tahun lalu selain beberapa peniaga baharu, dan beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 1 pagi dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan Deepavali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

