
SULAIMAN YAKIN ABDUL HAKIM MAMPU WARISI KEPERCAYAAN PENGUNDI LENDU
LENDU 7 November – Pengalaman dan sokongan kepimpinan terdahulu menjadi antara sandaran Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu menerusi calon baharu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Mantan Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, beliau yakin penduduk Lendu mampu menerima kehadiran calon baharu itu berdasarkan pengalaman, latar belakang serta hubungannya dengan masyarakat setempat.
Beliau yang juga antara pemimpin lama UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, Abdul Hakim merupakan pelapis yang telah diberi pendedahan dan bimbingan secukupnya untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, Abdul Hakim mempunyai pengalaman luas dalam UMNO, termasuk pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum meneruskan khidmat sama dalam pentadbiran Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
“Sebenarnya Abdul Hakim adalah pelapis yang kita latih. Beliau berpengalaman luas dalam UMNO dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik ketika saya menjadi Ketua Menteri serta meneruskan tugas itu ketika pentadbiran Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
“Saya dengan cara saya, Abdul Hakim sebagai orang muda ada pendekatan beliau sendiri untuk menawan hati pengundi. Malah bapanya, amat dikenali dalam kalangan penduduk di DUN Lendu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Abdul Hakim pada Program Walkabout Bersama Calon Barisan Nasional N.04 Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Md Shah dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Abdul Hakim yang merupakan calon nombor 1 BN bagi kerusi DUN Lendu juga seorang pemimpin yang mudah didekati dan tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.
Beliau berharap pengalaman serta pendekatan tersendiri Abdul Hakim mampu meraih kepercayaan pengundi sekali gus memastikan BN terus mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


