
PRN MELAKA: KJ PUJI PRESTASI KERAJAAN BN DITADBIR AB RAUF
REMBIA 7 November – Prestasi Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menjadi antara perkara yang diketengahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam usaha Barisan Nasional (BN) mendapatkan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Khairy berkata, PRN kali ini bukan diadakan ketika Kerajaan Negeri kehilangan sokongan atau berdepan keadaan terdesak, sebaliknya bagi mendapatkan mandat rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Katanya, kesinambungan pentadbiran penting bagi membolehkan perancangan pembangunan negeri diteruskan.
“Ini bukan pilihan raya yang diadakan dalam keadaan terdesak atau ketika kerajaan BN Melaka tidak popular, tetapi cuma hendak meminta mandat disambung supaya kita dapat meneruskan agenda untuk membangunkan negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra di Pasar Alor Gajah bersama calon BN DUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Khairy turut menyentuh kelebihan Norazril yang mempunyai pengalaman politik serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat, termasuk pernah berkhidmat sebagai pegawai khas di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
Katanya, pendekatan mendekati masyarakat dan memahami keperluan penduduk menjadi antara ciri penting calon yang diketengahkan BN pada PRN kali ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


