PRN MELAKA: PENGALAMAN JADI PENGHULU KELEBIHAN TOK JEZ DI SUNGAI RAMBAI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 November – Pengalaman berkhidmat sebagai penghulu serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat menjadi kelebihan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit atau lebih dikenali sebagai Tok Jez.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, Jezlee bukanlah individu baharu kepada penduduk Sungai Rambai meskipun pertama kali diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Katanya, pengalaman berkhidmat sebagai penghulu sebelum ini membolehkan Jezlee yang juga calon nombor 1 N.28 Sungai Rambai memahami keperluan serta permasalahan masyarakat setempat, selain mempunyai hubungan sedia ada dengan penduduk.

“Dia bukan muka baharu, dia sebenarnya sebelum ini menjadi penghulu di Sungai Rambai. Dia pun telah dikenali oleh masyarakat awam, cuma mahu diperletakkan di persada secara rasminya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Sungai Rambai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Sungai Rambai di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap calon BN N.27 DUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Jezlee serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abd Aziz.

Mengulas persiapan menghadapi hari-hari terakhir kempen, Ab Rauf berkata, BN mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan segala gerak kerja berjalan lancar menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan secara terperinci strategi berkenaan kerana ia merupakan perancangan dalaman parti.

“Memang kita ada strategi, tetapi strategi itu tidak boleh diberikan kepada umum. Strategi itu ada pada diri saya, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN PILIH KEMPEN TENANG, PERTARUH REKOD KERJA SANTUNI RAKYAT