
BN-PN MENYATU, BEMBAN MENANG YADZIL DI BLOK KERAJAAN – AB RAUF
BEMBAN 7 November – Kerjasama politik yang terjalin antara parti komponen membuka ruang kepada calon Perikatan Nasional (PN) N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban Dr. Yadzil Yaakub untuk bersama dalam kelompok kerajaan sekiranya berjaya memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu turut mencerminkan kesediaan semua pihak mengetepikan perbezaan politik terdahulu demi membentuk pentadbiran yang lebih tersusun dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka berkata, sokongan dan kerjasama jentera parti perlu digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan calon yang diketengahkan.
“Kalau dulu Dr. Yadzil ini di blok pembangkang, sekarang kalau beliau menang, beliau duduk dalam kelompok kerajaan.
“Kita tidak ada lagi sengketa, tidak perlu lagi bertengkar suara atau berselisihan pendapat, kita akan sama-sama menghasilkan dasar demi rakyat untuk rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika hadir meninjau gerak kerja jentera BN-PN di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Calon dan juga penyandang N.24 DUN Bemban Dr. Yadzil Yaakub serta kenamaan lain
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mengingatkan pengundi DUN Bemban supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai bentuk pemberian sepanjang tempoh kempen, sebaliknya kekal membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar pilihan raya bukan hanya bergantung kepada calon yang bertanding, sebaliknya turut melibatkan keupayaan jentera dan sokongan akar umbi dalam menghadapi gerakan politik pihak lawan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

