PRN MELAKA: ONN HAFIZ MAHU KERJASAMA BN-PN KEKAL SELAMA-LAMANYA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERKAM 7 November – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diharap dapat dikekalkan selama-lamanya bagi memperkukuh penyatuan politik demi membawa agenda lebih besar untuk kepentingan rakyat dan negara.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesepakatan kedua-dua gabungan politik itu tidak seharusnya terhenti setakat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu diteruskan dalam menghadapi pilihan raya di peringkat negeri dan nasional.

Menurutnya, perbezaan pendapat terutama berkaitan pembahagian kerusi dan pemilihan calon tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan kerjasama yang sedang dibina.

“Saya doakan gabungan ini kekal selamanya. Saya minta tolong sampaikan kepada pucuk pimpinan PAS, saya dah sampaikan kepada pucuk pimpinan UMNO, kita semua kena bergabung kerana Allah SWT.

“Soal kerusi, soal siapa jadi calon, biarlah kepimpinan putuskan. Tetapi jangan disebabkan tamak, haloba, rakus, kita sanggup berpecah,” katanya ketika berucap pada Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah; Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik serta lain-lain kenamaan.

Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, kerjasama itu juga penting dalam menghadapi rundingan politik di negeri-negeri lain termasuk Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, pengalaman kerjasama BN dan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang menyaksikan kemenangan dengan majoriti 15,000 undi membuktikan kekuatan yang boleh dicapai apabila kedua-dua pihak bersatu.

Menurutnya, kesepakatan sama turut dapat dilihat di Johor dan Negeri Sembilan apabila jentera BN dan PN saling memberikan sokongan di kawasan yang ditandingi rakan gabungan.

“Bila kita kuat, niat kita adalah untuk memimpin negara ini, untuk memimpin negeri-negeri ini dengan lebih baik, tanpa menidakkannya kepentingan kaum-kaum lain dan juga agama-agama lain,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

134
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KJ LIHAT NORAZRIL ADA BANYAK KELEBIHAN DI REMBIA