
ANAK MELAKA DIPERANTAUAN BANGGA DENGAN PEMBANGUNAN MELAKA
TANJUNG BIDARA 8 November – Walaupun mencari rezeki di negeri orang, perkembangan pembangunan dan kemajuan Melaka tetap dekat di hati anak jati negeri ini yang sentiasa mengikuti setiap perubahan dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Bagi Norhafiz Sabtu, 35, yang bekerja di Kota Tinggi, Johor, pelbagai inisiatif diperkenalkan sepanjang pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh bukan sahaja membawa perubahan kepada landskap negeri, malah memudahkan urusan harian rakyat.
Katanya, antara perubahan yang paling menarik perhatiannya ialah naik taraf persimpangan lampu isyarat kepada bulatan di Sungai Baru Ulu, Kampung Solok Duku, yang disifatkan berjaya melancarkan aliran trafik khususnya ketika waktu puncak dan musim cuti umum.
“Sebelum ini tempoh menunggu di lampu isyarat agak lama, tambahan pula pada waktu puncak atau cuti umum. Sekarang apabila digantikan dengan bulatan, pergerakan trafik lebih lancar.
“Saya anak Melaka yang bekerja di Johor tetapi sentiasa mengambil tahu perkembangan pembangunan negeri. Memang bangga melihat Melaka sekarang ini.
“Tidak hanya tertumpu kepada pembangunan, saya juga memuji pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat yang dilaksanakan Ketua Menteri. Rakyat yang berdepan kesukaran tidak dibiarkan bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ketua Menteri singgah bersarapan di sebuah warung di Ayer Hitam Darat, di sini, hari ini.
Kehadiran Ab Rauf turut menarik perhatian pelanggan warung berkenaan yang mengambil kesempatan untuk menyapa serta bergambar bersama beliau.
Mengulas lanjut, Norhafiz menyifatkan Ab Rauf bukan sahaja memberi perhatian kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, malah memiliki keperibadian mesra yang memudahkan masyarakat mendekatinya.
“Beliau mudah didampingi dan meskipun mempunyai jadual padat, tidak menolak apabila ada yang ingin bergambar bersama.
“Kemesraan beliau seperti orang kampung. Walaupun tidak mengenali seseorang, beliau tetap menyapa orang di sekelilingnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


