
PRN MELAKA: JASMINE MAHU BUKTI KEMAMPUAN, RAIH MANDAT RAKYAT
BANDA HILIR 8 November – Sokongan padu jentera MCA seluruh negara menjadi pembakar semangat buat calon Barisan Nasional (BN) N.22 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok untuk berjuang meraih mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Katanya, sokongan luar biasa diterima daripada pimpinan dan anggota MCA yang datang dari pelbagai negeri semata-mata bagi membantu memperkukuh gerak kerja kempen serta mendekati pengundi di kawasan berkenaan.
Calon BN nombor satu itu berkata, kehadiran jentera parti itu membuktikan komitmen serta kesepaduan kepimpinan dan anggota parti dalam memastikan BN mencapai kemenangan.
“Sebagai calon baharu yang memerlukan dorongan serta bimbingan daripada pimpinan dan rakan seperjuangan saya amat menghargai sokongan diberikan ini.
“Ia secara tidak langsung memberi semangat yang positif untuk saya terus berjuang bagi mendapatkan kepercayaan dan mandat daripada rakyat khususnya penduduk DUN Bandar Hiilir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jasmine yang juga bekas Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari sebagai calon baharu, dia akan terus bekerja keras selain membuktikan kemampuan melalui tindakan bagi memastikan kepercayaan serta harapan yang diberikan tidak disia-siakan.
“Kejayaan BN merampas semula kerusi DUN Repah pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini selepas tewas selama 25 tahun menjasi inspirasi serta pembakar semangat untuk saya berusaha mencapai kemenangan.
“Saya akan melakukan yang terbaik, bekerja dengan tekun dan membuktikan kemampuan melalui tindakan.
“Ini kerana saya mahu mendapatkan kepercayaan serta mandat rakyat dan tidak akan mengecewakan harapan yang diberikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


