
PRN MELAKA: DAH MACAM BULAN PUASA, RAKYAT TAK SABAR TUNGGU ‘BERBUKA’ – AB RAUF
KESIDANG 8 November – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan semakin terasa apabila rakyat negeri ini diibaratkan seperti menanti tibanya ‘hari raya’ dengan penuh debaran menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau melihat jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat sudah mula bergerak seiring bagi memastikan kesepakatan kedua-dua gabungan itu diterjemahkan pada hari pengundian.
Katanya, beliau berpuas hati dengan perkembangan gerak kerja kempen selepas seminggu turun padang dan mengunjungi beberapa bilik gerakan parti bagi melihat sendiri persiapan jentera.
“Saya lihat semua jentera di semua peringkat BN dan PN telah pun bergerak dan membuktikan bahawa kesepakatan ini akan membuahkan hasil.
“Saya amat berpuas hati. Saya sudah pergi ke bilik gerakan UMNO dan BN, PAS dan Wawasan serta gabungannya dan amat berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.
Mengulas suasana menjelang hari pengundian, Ab Rauf menyamakan penantian rakyat Melaka dengan suasana bulan Ramadan apabila orang ramai tidak sabar menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa.
“Orang Melaka ini macam bulan puasa. Dia tak sabar nak menunggu hari raya, macam nak tunggu waktu berbuka. Tunggulah waktu berbuka, azan Maghrib nanti, kita tengok macam mana cara mereka nanti, insya-Allah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Melaka supaya tidak bimbang atau ragu-ragu menjelang hari pengundian dan mengajak mereka bersama-sama menyokong gagasan Muafakat Melaka.
“Tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu. Orang Melaka jangan bimbang, jangan ragu, kita sama-sama pilih biru,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

