PRN MELAKA: PENERIMAAN RAKYAT TERHADAP MUAFAKAT MELAKA POSITIF

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 8 November – Penerimaan positif masyarakat terhadap kerjasama politik menerusi kerangka Muafakat Melaka semakin ketara berdasarkan maklum balas diterima calon MCA sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau melihat perkembangan memberangsangkan itu ketika mengadakan lawatan ke pusat gerakan calon MCA di seluruh negeri.

Menurutnya, sokongan yang diterima calon MCA turut memberi petunjuk positif terhadap penerimaan masyarakat terhadap kesepakatan politik berkenaan.

“Saya melihat perubahan untuk membawa landskap politik baharu di Melaka akan bermula pada pilihan raya ini.

“Apabila gelombang di Negeri Johor dibawa ke Negeri Sembilan dan termeterainya perjanjian antara dua parti terbesar negara menerusi kerangka Muafakat Melaka, saya lihat rakyat lebih yakin dengan kesepakatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Banda Hilir di Bilik Gerakan DUN Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan calon BN bagi N.22 DUN Banda Hilir, Jasmine Lok.

Ab Rauf berharap maklum balas positif yang diterima sepanjang kempen itu dapat diterjemahkan menerusi sokongan pengundi pada hari pengundian, 14 November ini.

Beliau turut berpandangan kesepakatan menerusi Muafakat Melaka berpotensi membawa landskap politik baharu kepada negeri ini pada PRN kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MUAFAKAT MELAKA SASAR PERUBAHAN LUAR JANGKA DI KESIDANG
Next post JASA ZAHARI DIKENANG, KHIDMAT MUSTAFA DINANTI