
JASA ZAHARI DIKENANG, KHIDMAT MUSTAFA DINANTI
DURIAN TUNGGAL 8 November – Pada usia 74 tahun, Samsudin Mahmod setiap hari melihat rumah baharunya dibina di depan mata, menantikan tempat berteduh lebih selamat bersama isteri selepas rumah pusaka mereka uzur dimakan anai-anai.
Bantuan yang diusahakan penyandang terdahulu, Datuk Zahari Abd Kalil, itu membawa makna besar buat pasangan berkenaan, sekali gus menjadi asas harapan agar keprihatinan serupa diteruskan Datuk Dr. Mustafa Musa, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang bertanding atas nombor satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

“Memang saya banyak-banyak terima kasih. Saya minta, sekejap sahaja dapat. Rezeki saya. Tapi kalau saya tak dapat pun, rumah saya tumbang sendirilah,” kata bekas pemandu teksi itu ketika ditemui Melaka Hari Ini sempena program ‘walkabout’ Datuk Dr. Mustafa Musa menyantuni penduduk Kampung Padang Keladi, di sini.
Samsudin, anak jati Kampung Padang Keladi itu menerima bantuan pembinaan rumah baharu di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi menggantikan kediaman asal berusia lebih 60 tahun.
Menurutnya, pembinaan rumah tiga bilik itu sudah berjalan kira-kira dua minggu dan beliau berpuas hati dengan kerja yang dilaksanakan setakat ini.

Sementara itu, bagi Embon Baba, 73, yang kini sukar bergerak akibat masalah kesihatan, kunjungan pemimpin ke rumah menjadi antara perkara yang dekat di hatinya.
“Dulu sakit-sakit lutut ni boleh jalan, acik boleh bawa kereta. Ini dah tak boleh lagi dah,” katanya yang turut berkongsi bahawa anaknya membawa beliau ke klinik untuk mendapatkan ubat.
Dalam keadaan pergerakannya terbatas, Embon menghargai kesudian Zahari mengunjunginya di rumah ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, selain usaha pembangunan termasuk kemudahan jalan yang dilaksanakan sepanjang menjadi wakil rakyat.
“Cakap apa pun beliau (Zahari) akan datang. Bukan sekali tetapi dah banyak kali datang sini,” katanya.
Ditanya harapan terhadap calon baharu, Embon mahu usaha pembangunan dan perhatian terhadap kebajikan penduduk diteruskan seperti sebelum ini.
Baginya, kesediaan mendengar keperluan serta turun menemui penduduk tanpa memilih latar belakang antara sikap pemimpin yang dihargainya.
Bagi pesara kerajaan, Mohd Saad Abdullah, 70, pula, kesungguhan seorang wakil rakyat dinilai melalui tindakannya apabila penduduk memerlukan bantuan. Sepanjang satu penggal Datuk Zahari berkhidmat, beliau sendiri memerhatikan kesediaan penyandang itu turun menemui penduduk dan bertindak terhadap aduan yang disampaikan.
“Apa yang saya tengok, orang minta bantuan pada Datuk Zahari, jalan ke, apa-apa ke, dia cepat datang dan cepat bertindak. Setakat satu penggal beliau jadi (wakil rakyat) ini, alhamdulillah,” katanya yang sudah kira-kira 10 tahun bersara.
Meskipun berasa terkilan apabila Datuk Zahari tidak lagi bertanding, Mohd Saad berharap usaha yang telah dimulakan dapat diteruskan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi DUN berkenaan.
Baginya, pertukaran calon membawa harapan agar perkara yang belum sempat diselesaikan terus diberi perhatian demi kepentingan penduduk.
“Calon baharu ni, dia teruskanlah usaha Datuk Zahari. Apa yang tertinggal, apa yang tak sempat dilakukan, supaya Datuk (Mustafa) teruskan.
“Siapa-siapa pun yang jadi (Adun), kita minta dia teruskan legasi yang Datuk Zahari buat, mana yang kurang, ditambah baiklah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


