DUN KOTA LAKSAMANA BAKAL DIANGKAT SEBAGAI IBU NEGERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 November – Cadangan menaik taraf koridor pembangunan Kota Laksamana bagi menjadikannya sebagai ibu negeri Melaka baharu antara perancangan jangka panjang yang diketengahkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam usaha merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kawasan itu.

Katanya, perancangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun pertama sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Kota Laksamana yang ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Melvin Chua, berjaya ditawan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ab Rauf berkata, beliau amat teruja apabila dimaklumkan bahawa jentera UMNO dan MCA telah membuktikan bahawa BN boleh membuat satu kejutan dalam Kota Laksamana kerana ia memerlukan perubahan dan perlu diubah.

“Saya lihat untuk kita menang pilihan raya kali ini satu perkara yang tidak mustahil dan Melvin akan menjadi wakil rakyat di Kota Laksamana.

“Melaka juga akan menjadi satu landskap politik yang baharu iaitu menjadikan Kota Laksamana sebagai ibu kota negeri Melaka.

“Untuk itu saya menyarankan bahawa koridor Kota Laksamana ini mesti dinaik taraf supaya pembangunan yang begitu pesat menjadikan kawasan ini sebagai ibu negeri Melaka atau pun ibu kota negeri Melaka buat pertama kalinya selepas Merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam lawatan ke Bilik Gerakan DUN Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo dan calon BN DUN Kota Laksamana, Melvin Chua.

Ab Rauf yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, cadangan itu juga selari dengan pembangunan Straits Of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang sebahagian besar kawasan pembangunannya terletak di Kota Laksamana.

“Ia akan melibatkan kawasan perindustrian, perumahan, kota perubatan dan juga kota pelancongan yang akan merubah landskap dan ekonomi negeri Melaka.

“Untuk itu saya memohon agar bersama saya dengan Melvin untuk membangunkan Melaka, membangunkan Kota Laksamana sekali gus memberikan Melaka sebagai nafas baharu dalam membina Melaka baru untuk dijadikan sebagai ibu negeri Melaka,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kesemua perancangan pembangunan berkenaan sebenarnya telah tersedia, namun pelaksanaannya masih belum dapat diintegrasikan sepenuhnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post JASA ZAHARI DIKENANG, KHIDMAT MUSTAFA DINANTI
Next post MELAKA SIAP SEDIA HADAPI MTL