
PRN MELAKA: VISI JASMINE PACU KOTA MELAKA LEBIH DINAMIK – AB RAUF
BANDA HILIR 8 November – Kota Melaka perlu terus diperkasakan sebagai pusat ekonomi dan pelancongan yang lebih dinamik menerusi pendekatan pembangunan baharu bagi memastikan kawasan bersejarah itu kekal menjadi tarikan utama pengunjung.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau berharap visi yang dibawa calon BN bagi kerusi N.22 Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Jasmine Lok mampu mencetuskan perubahan dalam pembangunan kawasan berkenaan.
Menurutnya, Kota Melaka mempunyai kelebihan tersendiri sebagai nadi ekonomi dan pelancongan negeri dengan kewujudan hotel, pusat beli-belah serta pelbagai produk dan persembahan pelancongan yang menjadi tarikan pengunjung.
“Di sinilah pusat ekonomi Melaka. Di sinilah kota yang orang datang sebagai pelancong untuk melihat apa itu Melaka, selain terdapat hotel-hotel hebat, persembahan menarik dan pusat beli-belah.
“Sebab itu saya harap visi yang dibawa Jasmine Lok ini akan melakukan perubahan,” katanya ketika berucap pada lawatan ke DUN Banda Hilir di Bilik Gerakan DUN Banda Hilir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan calon BN bagi N.22 DUN Banda Hilir, Jasmine Lok.
Ab Rauf berkata, pembangunan Kota Melaka perlu digerakkan menerusi pendekatan lebih konstruktif dan dinamik dengan memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan ekonomi serta memperkukuh sektor pelancongan.
Katanya, Melaka mempunyai kelebihan tersendiri berbanding negeri lain yang kaya dengan hasil bumi kerana kekuatan ekonomi negeri ini turut bergantung kepada kehadiran pelancong.
“Kita tidak mahu bercerita hanya mengkritik, sebaliknya kita mesti membina sebuah Melaka yang dinamik supaya negeri ini menjadi jauh lebih hebat berbanding negeri lain.
“Negeri lain kaya dengan ekonomi hasil bumi, tetapi Melaka terkenal dengan kekayaan pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


