PRN MELAKA: ANAK MUDA SUNGAI UDANG IDAM KEMUDAHAN SUKAN SELESA, SELAMAT

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

SUNGAI UDANG 8 November – Padang bola sepak yang lebih sempurna, gelanggang sukan selamat serta penambahan kemudahan riadah antara harapan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang terhadap wakil rakyat yang bakal dipilih pada 14 November ini.

Bagi mereka, kemudahan sukan bukan sekadar tempat mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk selain menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat setempat.

Anak jati Sungai Udang, Muhammad Faizy Fahmy Abdullah, 21, berkata padang di Taman Peruna menjadi tumpuan anak muda dari kawasan perumahan berhampiran termasuk Taman Cendana Permai untuk bermain bola sepak pada setiap petang.

Bagaimanapun, katanya, keadaan padang yang mempunyai permukaan berlekuk dan kawasan tertentu tidak berumput menjejaskan keselesaan ketika bermain, sekali gus memerlukan perhatian untuk dibaik pulih.

“Kalau orang Sungai Udang ini, memang mereka akan bermain di sini setiap petang. Cuma, keadaan padang ini nampak ada bahagian yang sudah berlekuk dan ada yang tiada rumput.

“Di Sungai Udang ini perlu ada satu padang yang lebih besar untuk anak tempatan kerana padang sedia ada mungkin hanya sesuai untuk permainan tujuh atau sembilan sebelah.

“Jadi, mungkin pada masa akan datang kita boleh bermain 11 sebelah dan mengeratkan silaturahim antara penduduk Sungai Udang,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Anak Muda Sungai Udang, di sini.

Penduduk Taman Cendana Permai itu turut berharap dua gelanggang futsal di kawasan JAPERUN Sungai Udang yang menurut pemerhatiannya ditutup dapat dibaik pulih, terutama membabitkan keadaan permukaan lantai yang disifatkannya kurang selamat untuk digunakan.

Selain bola sepak dan futsal, dia mencadangkan supaya lebih banyak gelanggang sepak takraw serta badminton disediakan bagi memberi pilihan aktiviti sukan kepada penduduk, termasuk pada waktu malam.

“Saya mengharapkan wakil rakyat yang menang nanti boleh membaik pulih kemudahan ini supaya penduduk Sungai Udang, khususnya anak muda, dapat bermain pada waktu pagi ataupun malam.

“Wakil rakyat yang bakal menang nanti juga boleh menambah gelanggang sepak takraw ataupun badminton,” katanya.

Harapan sama disuarakan pekerja sektor swasta, Al-Fauzy Mat Isa, 31, yang mahu penambahbaikan padang di Taman Peruna turut merangkumi pemasangan jaring penghadang di belakang tiang gol bagi meningkatkan aspek keselamatan.

Katanya, permukaan padang yang tidak rata bukan sahaja menjejaskan keselesaan pemain, malah ketiadaan jaring penghadang boleh menyebabkan bola tersasar ke kawasan rumah penduduk berhampiran.

“Saya mengharapkan peruntukan untuk membaik pulih padang ini kerana permukaannya tidak berapa rata.

“Kalau boleh, bina juga jaring di belakang tiang gol supaya permainan di sini lebih selamat kerana kawasan sekeliling ada rumah kediaman. Jadi, kalau bola tersasar, dibimbangi terkena rumah orang,” katanya.

Penduduk Taman Seri Terendak 2 itu berkata, gelanggang futsal yang sering digunakannya bersama rakan-rakan terletak di Taman Terendak Permai, justeru berharap kemudahan seumpama itu dapat diperbanyakkan di kawasan perumahan lain.

Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan sedia ada dan menyediakan lebih banyak ruang riadah mampu menggalakkan anak muda menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada rutin harian.

“Saya berharap kemudahan sukan dan tempat beriadah yang sedia ada dibaik pulih serta ditambah supaya anak muda di kawasan ini lebih kerap bersukan pada setiap petang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post DR. YADZIL SEDIA BAWA ISU RAKYAT BEMBAN KE MEJA PENTADBIRAN