PRN MELAKA: ANAK MUDA PERLU DISANTUNI, BUKAN DITEKAN – RAIS

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

SUNGAI UDANG 8 November – Anak muda perlu diberi ruang membuat penilaian sendiri terhadap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tanpa sebarang desakan, sebaliknya keyakinan mereka perlu diraih menerusi pendekatan mesra dan kesungguhan menyantuni golongan berkenaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, golongan muda lazimnya akan menilai calon berdasarkan kehadiran, komitmen serta keselesaan mereka untuk berinteraksi dengan individu yang menawarkan khidmat kepada masyarakat.

“Anak muda ini kita tidak boleh terlalu memaksa ataupun menekan-nekan. Saya yakin mereka akan tengok siapa yang ada di bawah bersama dengan mereka dan siapa yang mereka rasa selesa apabila kelak mereka pulang untuk mengundi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Melaka berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program santai bola sepak bersama anak muda di Padang Bola Sepak Taman Peruna, di sini, pada Sabtu.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan membabitkan beberapa pempengaruh terkenal anak Melaka, antaranya Aretoi, Babah Nadeen, Balau, Dakmins dan Botakwaknat.

Rais yang juga calon nombor 3 N.11 Sungai Udang berkata, hampir 45 peratus pengundi di DUN Sungai Udang berusia 40 tahun ke bawah, termasuk anggota tentera serta pasangan mereka, sekali gus memerlukan pendekatan bersesuaian untuk mendekati kelompok pengundi berkenaan.

“Di sini, pengundi berusia 40 tahun ke bawah hampir 45 peratus, tetapi itu termasuk pengundi daripada kem tentera. Lebih 7,000 daripada lebih 9,000 pengundi tentera dan pasangan itu berusia 40 tahun ke bawah,” katanya.

Mengulas penglibatan pempengaruh dalam program berkenaan, Rais berkata pendekatan itu mampu menjadi penghubung untuk mendekati anak muda menerusi aktiviti santai yang lebih dekat dengan minat mereka.

Katanya, kehadiran pempengaruh berkenaan bukan bertujuan berkempen, sebaliknya untuk berinteraksi dan meluangkan masa bersama golongan muda menerusi aktiviti sukan.

“Mereka bukan saja jadi jambatan, tetapi bagaimana untuk kita mendekati anak muda. Sebab itulah kita berinteraksi bersama pempengaruh-pempengaruh ini.

“Anak-anak muda ini kita perlu mencari pelbagai kaedah untuk bersama-sama dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata beberapa kemudahan sukan dan rekreasi di Sungai Udang turut memerlukan perhatian, termasuk gelanggang futsal berhampiran JAPERUN yang perlu dibaik pulih serta dinaik taraf.

Katanya, usaha menambah baik padang komuniti dan taman permainan kanak-kanak juga antara perkara yang akan diberi perhatian sekiranya diberi mandat oleh pengundi.

“Di Sungai Udang ini sebenarnya ada banyak kawasan yang telah ada padang futsal, tetapi perlu diperbaiki, perlu dinaik taraf lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sedang menyediakan aku janji khusus bagi DUN Sungai Udang dengan mengambil kira keperluan anak muda, termasuk membantu mengembangkan kegiatan keusahawanan yang diceburi golongan berkenaan.

Menurutnya, Sungai Udang mempunyai usahawan muda dalam bidang pertanian, perkhidmatan bekam dan pembuatan alat perkusi yang berpotensi dikembangkan sekiranya mendapat sokongan sewajarnya.

“Di Sungai Udang ini kita ada usahawan tani dalam kalangan anak muda. Kita juga ada usahawan bekam, kita ada usahawan yang buat alat perkusi di Bertam Hulu.

“Dia sendiri yang bina, dia sendiri yang buat perkara itu, tetapi memerlukan bantuan untuk mesin dan sebagainya. Ini yang perlu kita ketengahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: WAKIL RAKYAT LAMA PERLU BAWA IDEA DAN PEMBAHARUAN BAHARU – AB RAUF