AH SEM PERTARUH REKOD BERKHIDMAT  LIMA TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MACHAP JAYA 9 November – Rekod berkhidmat sepanjang lima tahun menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN) N.08 Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dalam berdepan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 meskipun tidak menyertai sesi dialog yang dianjurkan pihak tertentu sepanjang tempoh kempen.

Lebih mesra disapa Ah Sem, calon nombor 1 itu berkata, rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat adalah bukti serta segala usaha dan pelaksanaan tanggungjawab sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau yang juga penyandang DUN Machap Jaya berkata, usaha dan bukti sudah diterjemahkan menerusi khidmat kepada masyarakat, sekali gus menjadi antara perkara yang boleh dinilai pengundi.

“Saya sudah lima tahun buat kerja, rakyat sudah tahu apa yang saya telah buat dan laksanakan.

“Jadi dalam masa berkempen ini, saya tidak perlu menerima jemputan mereka yang mahu saya sertai sesi dialog dan sebagainya kerana masing-masing mempunyai kerja tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Machap Jaya di Taman Lesung Batu Impian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, pendekatan berterusan mendekati masyarakat menerusi aktiviti turun padang sepanjang tempoh perkhidmatan membolehkannya memahami keperluan penduduk serta mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian.

“Usaha menyelesaikan permasalahan penduduk dan memastikan kebajikan masyarakat terus diberikan perhatian kekal menjadi antara fokus saya manakala rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun itu boleh dijadikan penilaian pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post HELMY CAKNA ANAK ISTIMEWA