
UNDI AWAL KAYU PENGUKUR MOMENTUM SOKONGAN PRN MELAKA – AB RAUF
MACHAP JAYA 9 November – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan sebagai kayu pengukur kepada momentum sokongan menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pengundi awal khususnya dalam kalangan anggota keselamatan yang bertugas perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan memilih calon yang diyakini mampu membawa pembangunan kepada negeri.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka berkata, proses berkenaan menjadi antara petunjuk awal terhadap suasana dan perkembangan sokongan menjelang hari pengundian sebenar.
“Saya menyarankan bahawa pengundian awal ini amat sesuai dilihat sebagai kayu pengukur untuk kita menuju kepada 14 November ini nanti.
“Kepada pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab undi awal esok, undi dan pilih lah calon yang benar-benar buat kerja demi masa depan negeri yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Bilik Gerakan DUN N.08 Machap Jaya di Taman Lesung Batu Impian, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan; Calon BN N.08 DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pengundian awal memberi ruang kepada anggota keselamatan yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian biasa untuk turut mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
“Saya berharap semua pengundi awal dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya, sekali gus memastikan kelancaran proses pengundian dan menghormati hak setiap individu dalam menentukan wakil rakyat serta hala tuju pentadbiran negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

