Sorting by

×

PERDANA MENTERI HARGAI SUMBANGAN PENJAWAT AWAM PACU KEMAJUAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ALOR GAJAH 24 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem kenaikan pangkat dan pengiktirafan dalam perkhidmatan awam dilaksanakan secara lebih telus, adil serta tidak terlalu terikat dengan prosedur yang boleh mengekang kecemerlangan penjawat awam.

Beliau berkata, kebimbangan yang sering dibangkitkan dalam kalangan penjawat awam ketika ini adalah berkaitan kategori dan proses kenaikan pangkat yang dilihat perlu ditambah baik bagi memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Menurutnya, usaha menghargai kecemerlangan tidak boleh terlalu terikat dengan pelbagai syarat sehingga menjejaskan peluang penjawat awam yang layak untuk maju dalam kerjaya.

“‘Struggle for excellence’ itu tidak boleh terlalu terikat. Penghargaan perlu diberikan berdasarkan prestasi dan sumbangan sebenar penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad serta kenamaan lain.

Program itu menghimpunkan seramai 513 penjawat awam dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Anwar berkata, perkhidmatan awam negara perlu terus berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan nilai profesionalisme bagi memastikan kelangsungan sistem pentadbiran yang berkesan.

Katanya, setiap dasar kerajaan yang dirangka perlu difahami rakyat dan diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

“Bagaimana dasar yang baik dan cekap dapat difahami rakyat, dan bagaimana keputusan itu sampai menjadi khidmat kepada rakyat, itulah yang paling penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

905
Kongsi :
Previous post WRUR RIM: ISU ANJING LIAR ANTARA 40 ADUAN DITERIMA MPJ
Next post ANWAR MINTA JANGAN ‘PANASKAN’ SUASANA, PILIHAN RAYA BIAR ANTARA PARTI