Sorting by

×

ANWAR MINTA JANGAN ‘PANASKAN’ SUASANA, PILIHAN RAYA BIAR ANTARA PARTI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ALOR GAJAH 24 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya tidak ‘memanaskan’ suasana susulan polemik yang timbul menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu membuat sindiran terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) ketika berucap dalam sebuah program baru-baru ini di Tangkak baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, perbincangannya bersama TMJ berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak mempunyai persefahaman yang sangat baik.

“Dia (Mohamad) beri pandangan, saya ada perbincangan sangat baik dengan TMJ. Sangat baik persefahamannya.

“Jadi kita jalankan. Ini pilihan raya biar antara parti. Jangan kaitkan institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (Create) di Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad serta kenamaan lain.

Terdahulu, Mohamad ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir pada Isnin menegaskan pilihan raya perlu menjadi medan persaingan antara parti politik tanpa campur tangan mana-mana pihak yang boleh mencemarkan amalan demokrasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post PERDANA MENTERI HARGAI SUMBANGAN PENJAWAT AWAM PACU KEMAJUAN NEGARA
Next post ANWAR PUJI PERANAN PENJAWAT AWAM TINGKAT PRESTASI MALAYSIA DALAM RANKING DAYA SAING DUNIA