
RM67 JUTA SELESAKAN WARGA TELOK MAS
TELOK MAS 10 Julai – Lebih RM67 juta peruntukan telah disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Ia melibatkan 12 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta 25 kampung dalam kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peruntukan berkenaan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, di mana projek itu merangkumi pelaksanaan infrastruktur asas seperti pembinaan serta naik taraf jalan, sistem perparitan, longkang, kerja turapan semula dan pembaikan balai raya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan keselesaan penduduk termasuk kemudahan untuk pelajar serta komuniti setempat.
“Setakat ini lebih RM67 juta telah disalurkan untuk pelbagai projek di 12 JPKK dan 25 kampung dalam DUN Telok Mas dan ia melibatkan pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta Persekutuan,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Abdul Razak, meskipun jumlah peruntukan yang besar telah disalurkan, beliau mengakui masih terdapat cabaran dalam menyelesaikan sepenuhnya isu infrastruktur memandangkan kawasan Telok Mas yang padat dengan penempatan kampung dan taman perumahan.
Jelasnya, keperluan pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan memerlukan peruntukan lebih besar bagi memastikan semua masalah dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada pelbagai agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta kementerian berkaitan yang sentiasa memberi kerjasama dalam memastikan isu rakyat dapat diselesaikan secara berperingkat.
Katanya, antara yang banyak membantu adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan sokongan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempercepatkan pelaksanaan projek di kawasan berkenaan.
Abdul Razak berkata, fokus utama Kerajaan Negeri adalah memastikan setiap kampung dan taman di Telok Mas menerima manfaat pembangunan secara seimbang meskipun berdepan kekangan peruntukan.
Justeru, selagi diberi amanah memimpin kawasan itu, beliau bertekad untuk terus memperjuangkan pelbagai projek demi manfaat seluruh rakyat di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


