Sorting by

×

RUMAH PAM RM3.41 JUTA ‘BENTENG’ TANGANI BANJIR MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 10 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani isu banjir di kawasan Masjid Tanah terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan projek pembinaan rumah pam saliran bernilai RM3.41 juta yang kini siap dibangunkan di Taman Bandar Baru Masjid Tanah.

Projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu menjadi antara fokus lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (JKMSR) DUN Lendu, hari ini.

Projek yang bermula pada 11 April 2025 dan siap pada 3 Februari 2026 itu melibatkan pembinaan rumah pam saliran serta beberapa kerja berkaitan bagi mengurangkan risiko banjir yang sering membelenggu penduduk setempat.

Pada siri jelajah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diberi taklimat mengenai rumah pam berkenaan oleh Pengarah JPS Negeri Melaka Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Turut bersama dalam lawatan itu, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Antara skop utama projek itu adalah pembinaan rumah kawalan, pemasangan tiga unit HDPE flap gate; pembinaan ‘chain hoist’, ‘pump sump’ dan ‘trash screen’; pembinaan pencawang padat serta meter kiosk selain pemasangan empat unit pam selam elektrik bersama paip penghantaran.

Empat sistem pam bersepadu yang dibangunkan itu mampu mengepam sehingga 3,550 liter air sesaat, sekali gus mempercepatkan aliran air ke Sungai Baru ketika hujan lebat berterusan.

Menariknya, kapasiti sistem pam tersebut boleh berfungsi setara dengan pengosongan sebuah kolam renang olimpik berkapasiti 2.5 juta liter dalam tempoh hanya 11 minit 45 saat.

Selain projek rumah pam, DUN Lendu juga turut menerima dua lagi projek berimpak tinggi bagi mengatasi isu banjir iaitu pemulihan Kolam Takungan Banjir Solok Duku membabitkan peruntukan berjumlah RM950,000 dan pemulihan Kolam Takungan Banjir Durian Daun dengan kos RM960,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post FELDA HUTAN PERCHA HARUMKAN NAMA MELAKA, JADI ANTARA DESA TERBAIK NEGARA
Next post RM67 JUTA SELESAKAN WARGA TELOK MAS