Sorting by

×

FELDA HUTAN PERCHA HARUMKAN NAMA MELAKA, JADI ANTARA DESA TERBAIK NEGARA

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

MACHAP JAYA 10 Julai – Usaha gigih seluruh komuniti Kampung Felda Hutan Percha memperkasakan pembangunan desa menerima pengiktirafan peringkat kebangsaan apabila kampung itu diumumkan sebagai naib johan Anugerah Aspirasi Desa Madani Tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha Nizam Baharom berkata, lebih bermakna kemenangan itu turut diiringi dengan Anugerah Khas Pengurusan Sistematik menjadikan hadiah keseluruhan dibawa pulang bernilai RM100,000.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan seluruh komuniti kampung yang membuat persiapan selama hampir setahun bagi memenuhi kriteria penilaian, selain turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.

“Pastinya kejayaan ini amat bermakna buat seluruh warga Felda Hutan Percha kerana daripada kesemua 14 negeri seluruh Malaysia, Felda Hutan Percha berjaya berada di kedudukan kedua.

“Lebih membanggakan, bukan satu tetapi dua pengiktirafan berjaya diraih dan kejayaan ini adalah milik bersama seluruh penduduk, agensi berkaitan serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal persiapan sehingga selesai proses penilaian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nizam berkata, sepanjang tempoh persiapan, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi mengetengahkan keunikan Kampung Felda Hutan Percha termasuklah dalam aspek pembangunan komuniti, warisan budaya serta pengurusan kampung.

“Antara pengisian yang dipersembahkan kepada panel penilai termasuk penganjuran aktiviti kebudayaan melibatkan masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan utama kampung ini.

“Semua aktiviti ini dirancang bagi memperlihatkan identiti, keunikan serta potensi Kampung Felda Hutan Percha sebagai sebuah komuniti desa yang progresif dan berdaya saing,” katanya.

WhatsApp Image 2026 07 09 at 10.57.21 PM (1)
ANUGERAH diterima menjadi pemangkin buat warga Felda Hutan Percha menjadi sebuah desa yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diterima akan dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh pembangunan kampung dan memastikan komuniti Felda Hutan Percha kekal berada di landasan sebagai sebuah desa yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh sokongan padu daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan komuniti luar bandar di Melaka.

“Semoga pengiktirafan yang diterima ini menjadi inspirasi kepada kami untuk terus memajukan kampung, memperkasakan masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan penduduk pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, hadiah kemenangan disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia Tahun 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post TAWARAN TENDER PASAR BESAR MELAKA BAKAL DIBUKA DALAM TEMPOH SEBULAN
Next post RUMAH PAM RM3.41 JUTA ‘BENTENG’ TANGANI BANJIR MASJID TANAH