
NAIK TARAF PASAR WILAYAH TAMAN KOTA LAKSAMANA TINGKAT KESELESAAN PENIAGA
KOTA LAKSAMANA 12 Julai – Kerja naik taraf Pasar Wilayah Taman Kota Laksamana dengan peruntukan keseluruhan hampir RM1 juta memberi nafas baharu kepada premis berkenaan, sekali gus menyediakan persekitaran lebih selesa buat lebih 20 peniaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, pasar berkenaan telah melalui dua kali kerja naik taraf hasil peruntukan yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pasar ini telah dua kali dinaik taraf dan menerima peruntukan daripada KPKT dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta dan lebih 20 peniaga beroperasi di sini bermula seawal jam 6 pagi sehingga jam 10 atau 11 pagi.
“Pasar ini memenuhi keperluan orang tempatan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas meramsikan Kempen Pasar Awam Bersih di Pasar Wilayah Taman Kota Laksamana, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Setiausahanya, Muhammad Firdaus Shariff.
Dalam pada itu, Chee Leong berharap kempen kebersihan yang dilaksanakan dapat diteruskan dan tidak terhenti setakat program berkenaan sahaja.
“Saya berharap kempen ini dapat berterusan dan bukan hanya untuk program hari ini sahaja kerana sebagai warga kota yang bertanggungjawab, kita harus menjaga kebersihan persekitaran terutama di tempat awam.
“Semua warga dan komuniti perlu menjaga kebersihan di mana-mana sahaja, bukan sahaja di tempat awam, malah di rumah, halaman dan tempat kerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


