Sorting by

×

MERCU TANDA ‘I LOVE’ BERMULA DI KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KESIDANG 12 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menjadi perintis kepada penggunaan papan tanda berkonsepkan ‘I LOVE’ yang kini semakin popular dan boleh ditemui di pelbagai lokasi di seluruh Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, idea tersebut bermula dengan pemasangan papan tanda ‘I LOVE Malim’ sebagai usaha mewujudkan identiti dan rasa kebanggaan terhadap kawasan setempat.

Menurut beliau, kejayaan konsep itu kemudiannya mencetuskan inspirasi kepada lebih banyak lokasi lain untuk memperkenalkan papan tanda yang serupa.

“Konsep ‘I LOVE’ ini sebenarnya bermula di kawasan kita. Antara yang terawal ialah ‘I LOVE Malim’.

“Selepas itu, kita lihat semakin banyak kawasan memperkenalkan identiti masing-masing seperti ‘I LOVE Batu Berendam’ dan pelbagai lagi lokasi di Melaka,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

3
ARCA ‘I LOVE’ yang terdapat di dalam DUN Kesidang. Foto Afiq Mustaffa

Menurut Allex, sehingga kini lebih 20 lokasi strategik di sekitar Kesidang telah dilengkapi dengan papan tanda berkonsepkan ‘I LOVE’ hasil kerjasama dengan sektor swasta.

Katanya, projek itu tidak membabitkan peruntukan kerajaan sepenuhnya, sebaliknya direalisasikan menerusi sumbangan dan tajaan syarikat swasta yang turut berkongsi hasrat untuk mencantikkan kawasan setempat.

Menurut beliau, papan tanda tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai elemen landskap, malah menjadi simbol kebanggaan penduduk terhadap kawasan masing-masing.

Katanya, setiap kali sambutan perayaan atau program besar diadakan, papan tanda berkenaan akan dihiasi dengan mesej khas bagi memeriahkan suasana dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Setiap kali musim perayaan atau program tertentu, kita akan memasang dekorasi serta ucapan khas pada papan tanda ini.

“Contohnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan Awal Muharam kali ini, lebih 10 lokasi ‘I LOVE’ akan dihiasi dengan ucapan dan elemen bertemakan sambutan tersebut,” katanya.

Tambah Allex, inisiatif itu secara tidak langsung berjaya mewujudkan identiti unik bagi kawasan Kesidang selain menjadi lokasi pilihan orang ramai untuk bergambar dan berkongsi di media sosial.

“Kadang-kadang perkara yang nampak kecil seperti ini mampu membina rasa kebersamaan dan kecintaan terhadap kawasan sendiri. Itulah yang kita mahu terapkan, supaya setiap penduduk berasa bangga menjadi sebahagian daripada komuniti Kesidang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post SUMBANGAN PERALATAN PERNIAGAAN KETUA MENTERI BERMAKNA BUAT PENIAGA KECIL
Next post NAIK TARAF PASAR WILAYAH TAMAN KOTA LAKSAMANA TINGKAT KESELESAAN PENIAGA