Sorting by

×

TAWARAN TENDER PASAR BESAR MELAKA BAKAL DIBUKA DALAM TEMPOH SEBULAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KOTA LAKSAMANA 10 Julai – Tender bagi projek pembinaan Pasar Besar Melaka bernilai hampir RM15 juta dijangka dikeluarkan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, projek berskala besar itu kini dalam proses penyediaan tender sebelum pelaksanaannya dimulakan.

Menurutnya, projek berkenaan turut menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pasar Besar Melaka adalah antara salah satu projek besar yang disalurkan peruntukan oleh KPKT dengan nilai mencecah hampir RM15 juta.

“Sekarang ini kita sedang dalam proses penyediaan tender dan insya-Allah dalam masa terdekat mungkin dalam tempoh sebulan dari sekarang, tender Pasar Besar Melaka akan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Pasar Awam Bersih di Pasar Wilayah Kota Laksamana, di sini.

Terdahulu kempen berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Lee Chee Leong. Hadir sama Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.

Shadan berkata, projek pembinaan pasar baharu itu dijangka mengambil masa kira-kira setahun lapan bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, pasar sedia ada ketika ini hanya berfungsi sebagai pasar sementara atau transit sehingga pembinaan kemudahan baharu selesai.

“Pasar lama itu sebenarnya pasar sementara dan berbentuk transit. Apabila pasar baharu siap, peniaga akan berpindah kerana agak sukar untuk dua pasar beroperasi dalam kawasan yang berdekatan.

“Pasar sedia ada itu hanya berbentuk transit,” katanya.

Untuk rekod, peruntukan itu diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membangunkan pasar yang lebih moden serta mesra pengunjung.

Ia bakal dibina di tapak asal berhampiran Melaka Sentral berkonsepkan ‘Serambi Melaka’.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBMB terus memberi perhatian terhadap aspek kebersihan pasar awam menerusi pelaksanaan kempen kesedaran membabitkan peniaga dan masyarakat.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kawasan pasar kekal bersih, cantik dan ceria selain lebih selesa dikunjungi orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post DUN KUALA LINGGI BERPOTENSI JADI HAB EKONOMI, PENDIDIKAN BAHARU MELAKA
Next post FELDA HUTAN PERCHA HARUMKAN NAMA MELAKA, JADI ANTARA DESA TERBAIK NEGARA