
PELANTAR TINJAU BAKAL SERLAH PESONA SUNGAI KESANG
SUNGAI RAMBAI 11 Julai – Pengunjung bakal menikmati panorama Sungai Kesang dari sudut pandangan baharu menerusi pembangunan lookout point (pelantar tinjau) yang menjadi antara tarikan utama ekopelancongan pesisiran sungai itu.
Kemudahan itu dijangka melengkapkan kawasan riadah sedia ada sekali gus memberi ruang kepada pengunjung menikmati panorama sungai, selain merakam pengalaman santai bersama keluarga dalam suasana semula jadi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pembangunan ‘lookout point’ itu antara elemen tambahan akan dilaksanakan menerusi projek berkenaan selepas menerima kelulusan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurutnya, MPJ bertindak sebagai agensi pelaksana bagi projek itu, manakala kerja awal termasuk penyediaan reka bentuk kini sedang dilaksanakan bersama arkitek dan perunding dilantik.
“Insya-Allah kita akan cuba buat sesegera mungkin untuk melaksanakan pembangunan ataupun naik taraf kawasan ini.
“Kawasan ini sudah mempunyai elemen dataran yang boleh digunakan orang ramai untuk beriadah, termasuk laluan pejalan kaki di sepanjang tepi sungai yang telah dinaik taraf sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MPJ Bersama Komuniti @ Sungai Rambai dan Taklimat Projek Pembangunan Eko Pelancongan Pesisiran Sungai Kesang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Program itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Hadir sama Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata MPJ turut melihat potensi memperluaskan pengalaman pelancongan di Sungai Kesang menerusi kerjasama bersama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Katanya, antara perancangan sedang dibincangkan termasuk aktiviti menyusuri Sungai Kesang serta menghubungkan kawasan itu dengan tarikan pelancongan lain bagi memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.
“Kita akan bekerjasama dengan PPSPM untuk melihat potensi laluan menyusuri Sungai Kesang supaya kawasan ini dapat dikembangkan sebagai salah satu tarikan eko pelancongan di Sungai Rambai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


