
INISIATIF JENGKAUT MINI: PROSES GALI KUBUR KINI SIAP KURANG SATU JAM
KUALA LINGGI 12 Julai – Proses menguruskan pengebumian jenazah umat Islam di Melaka menjadi lebih efisien dan cepat menerusi pelaksanaan inisiatif jengkaut mini hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ladang, Azman Ali, 55, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan berasa bertuah kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi menadi DUN pertama dalam Melaka yang menerima kemudahan jengkuat mini.
Katanya, jika sebelum proses menggali kubur menggunakan tenaga manusia mengambil masa sekitar empat ke lima jam bergantung kepada keadaan tanah.
“Jika jenis tanah itu keras maka proses menggali kubur mungkin mengambil masa lebih panjang, tetapi menggunakan jengkaut mini tidak sampai satu jam. Penggali kubur cuma perlu menyiapkan Liang lahad sahaja.
“Bagi saya ini adalah satu inisiatif amat bagus dalam kita meningkatkan lagi kecekapan sistem pengurusan jenazah umat Islam di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan jengkaut mini yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang, pada Jumat.
Azman turut memuji pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini disusuli siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Kuala Linggi.
“Hasil pelaksanaan WRUR sebelum ini hampir 70 peratus permasalahan melibatkan isu infrastruktur berjaya diselesaikan.Malah tugas kami sebagai Pengerusi JPKK dalam menyelesaikan permasalahan juga menjadi lebih lancar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

