
MELAKA TELITI LANGKAH TERBAIK TANGANI BANJIR BERULANG – AB RAUF
PAYA RUMPUT 12 Julai – Kerajaan Negeri akan melakukan kajian bagi mencari langkah penyelesaian terbaik untuk menangani permasalahan banjir berulang seluruh Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan risiko banjir, namun taburan hujan luar biasa sejak 20 tahun lalu menyebabkan beberapa lokasi seluruh Melaka dinaiki air dalam kejadian banjir semalam.
Katanya, sehubungan itu cadangan dan syor daripada agensi serta Jabatan berkenaan akan diteliti agar Kerajaan Negeri dapat membuat perancangan selain mengambil langkah segera untuk mengatasi banjir.
“Hujan luar biasa menyebabkan kolam takungan tidak dapat menampung jumlah air yang kemudiannya melimpah ke kawasan perumahan dan penempatan berhampiran khususnya di Tanjung Minyak Utama ini.
“Setakat ini 313 keluarga melibatkan keseluruhan 984 terjejas banjir seluruh Melaka ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS),” katanya. pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi.
Selain itu Ketua Menteri turut meluangkan masa melawat PPS Dewan Perkim Masjid Tanah yang menamatkan seramai 15 mangsa daripada lima keluarga.
Ab Rauf berkata, semua agensi berkaitan juga diarahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi memastikan operasi pemindahan dan bantuan kepada mangsa banjir dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


