
NAIK TARAF JALAN KAMPUNG AIR LIMAU-BANDAR BARU MASJID TANAH LANCAR
LENDU 10 Julai – Perjalanan pengguna yang melalui persimpangan Jalan Kampung Ayer Limau -Bandar Baru Masjid Tanah akan lebih lancar apabila kerja-kerja pelebaran laluan berkenaan kini giat dijalankan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan daripada dua menjadi empat lorong.
“Semua ini adalah sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik dalam Bandar Masjid Tanah yang kerap berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak.
“Dulu jalan ini sempit kerana ada paip air, namun hasil kerjasama dengan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ianya dilalihkan seterusnya memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf laluan kepada empat lorong ini,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari kedua pelaksanaan naik taraf bulatan di persimpangan Solok Duku bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.
Setakat ini kemajuan projek menaik taraf laluan persimpangan Jalan Kampung Ayer Limau -Bandar Baru Masjid Tanah mencapai 30 peratus berbanding 27 peratus mengikut jadual ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


