
RTB RM450 JUTA SOLUSI JANGKA PANJANG AKHIRI EPISOD BANJIR LENDU
LENDU 10 Julai – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru bernilai RM450 juta, bakal menjadi penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, khususnya di sekitar Pekan Masjid Tanah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ketika ini projek berimpak tinggi itu sedang berada di peringkat reka bentuk yang dilaksanakan oleh pihak perunding dan dijangka siap pada Julai 2027 sebelum proses sebut harga dapat dimulakan.
Menurut beliau, penyelesaian terhadap isu banjir memerlukan perancangan yang teliti dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, namun begitu Kerajaan Negeri tetap komited menggerakkan segala usaha yang diperlukan demi kesejahteraan rakyat.
“Memang penyelesaian banjir bukan kerja sehari dua. Tetapi yang penting, kerajaan tidak berdiam diri. Kita sedang menggerakkan prosesnya, kita sedang menyusun tindakannya dan akan terus memantau supaya projek besar ini dapat dilaksanakan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Lendu di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, sepanjang tempoh pentadbiran beliau, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti berusaha mencari penyelesaian dalam menangani masalah banjir di sekitar Lendu.
Ia dibuktikan apabila, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 13 projek mengurangkan risiko banjir di DUN Lendu telah siap sepenuhnya membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.91 juta.
Tidak hanya itu, rumah pam saliran di Taman Bandar Baru Masjid Tanah dengan kos RM3.41 juta juga telah siap pada Februari lalu dan dijangka menjadi antara ikhtiar penting Kerajaan Negeri dalam mengurangkan impak banjir di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

