
TOK RAUF ZIARAH PESAKIT ANGIN AHMAR TERLANTAR
KUALA LINGGI 11 Julai – Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi Program Ziarah Kasih pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, semalam.
Menerusi program itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluangkan masa menziarahi Te Keng Ong, 59, kini terlantar akibat serangan angin ahmar dan hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada isteri bagi menguruskan keperluan harian.
Te Keng Ong yang turut menghidap darah tinggi kini tinggal di rumah pusaka milik mendiang ibunya bersama isteri warga Vietnam, seorang anak lelaki berusia 16 tahun serta adik lelakinya, Te Keng Heng, 54.
Menurut Keng Heng, akibat diserang angin ahmar bahagian kiri badan Keng Ong lumpuh menyebabkan dia tidak lagi dapat bekerja dan hilang punca pendapatan.
“Saya akan cuba bantu apa yang termampu kerana abang sudah tidak boleh bergerak dan kakak ipar pula menjaganya sepenuh masa.
“Walaupun pendapatan saya tidak seberapa, saya akan pastikan keperluan harian abang sekeluarga dapat diuruskan sebaik mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Rumah Awam Tanjung Dahan.
Keng Heng turut menzahirkan rasa terima kasih dan sangat gembira apabila Ketua Menteri menunjukkan keprihatinan kepada keluarganya.
“Kami bersyukur apabila Ketua Menteri sendiri hadir menziarahi keluarga ini kerana ia memberi semangat kepada kami selain menunjukkan kerajaan sentiasa cakna terhadap nasib rakyat yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas serta bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Te Keng Ong dan keperluan semasa keluarganya sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

