Sorting by

×

DI SAAT HILANG MATA PENCARIAN, TOK RAUF HADIR HULUR TANGAN RINGANKAN BEBAN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 11 Julai – Diuji dengan jangkitan kuman pada kaki kanan sejak dua bulan lalu menyebabkan seorang pemandu lori, Ngatiman Semin, 58, hilang mata pencarian untuk menyara keluarga.

Dia yang menetap di Kampung Tanjung Dahan, di sini, kini sukar untuk berjalan dan pergerakannya turut terbatas kerana jangkitan tersebut turut menyebabkan sarafnya rosak.

Ujian itu nyata amat berat untuknya dan keluarga apatah lagi masih mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.

Namun, kepayahan dialami keluarga itu mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh apabila hadir menziarahi keluarga itu pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

Ngatiman nyata tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila pemimpin nombor satu negeri datang sendiri bertanya khabar selain turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga.

Malah, menurutnya, kunjungan itu turut membawa khabar gembira apabila dia kini layak menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya terharu, tak pernah lagi berjumpa Ketua Menteri sebelum ini, tapi Ketua Menteri pula datang menziarahi saya di rumah. Saya memang rasa terharu dan bersyukur.

“Saya ucapkan terima kasih kerana beliau bukan sahaja melawat dan bertanya khabar, malah turut menyampaikan sumbangan. Inilah lambang seorang pemimpin mesra dan prihatin dengan masalah rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bercerita tentang masalah kesihatan dihadapi, Ngatiman memaklumkan, dia mula mengalami masalah pada kaki kanan kira-kira dua bulan lalu apabila bahagian tersebut tiba-tiba menjadi merah dan bengkak sebelum dimaklumkan sudah dijangkiti kuman.

Katanya, doktor kemudian memaklumkan kaki tersebut mungkin terpaksa dipotong kerana bimbang jangkitan kuman itu berisiko merebak.

“Saya takut apabila doktor cakap kalau jangkitan naik ke atas, kaki mungkin terpaksa dipotong. Syukur apabila dibedah, hanya bahagian atas kaki dikorek dan dibuang, namun pemantauan berterusan tetap perlu dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post TOK RAUF ZIARAH PESAKIT ANGIN AHMAR TERLANTAR