
JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT RAIH SOKONGAN ANAK MUDA KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 11 Julai – Penyertaan golongan belia pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi disifatkan amat memberangsangkan apabila dianggarkan lebih 300 peserta hadir memeriahkan program itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, lebih menarik lagi kesemua belia terlibat tidak melepaskan peluang berkonvoi motosikal bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Katanya, kehadiran ramai anak muda menunjukkan program turun padang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri semakin mendapat sambutan dan berjaya mendekatkan golongan belia dengan kepimpinan negeri.
“Saya melihat penyertaan anak muda kali ini amat luar biasa dan memberi satu inspirasi baharu.
“Ia menunjukkan program seperti ini diterima baik serta mampu mengeratkan hubungan antara Kerajaan dan rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Rakyat di Masjid Al-Hasanah, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, penglibatan positif golongan belia terhadap program-program anjuran Kerajaan Negeri menunjukkan petanda positif.
“Keterlibatan aktif golongan muda ini juga menjadi petanda positif bahawa mereka semakin cakna terhadap isu pembangunan, kebajikan rakyat dan hala tuju negeri.
“Saya percaya apabila anak muda turun bersama dalam program seperti ini, ia bukan sekadar aktiviti santai, tetapi ruang untuk mereka melihat sendiri usaha kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dan merancang pembangunan masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


