
MELAKA KEKAL ANTARA TERTINGGI KEBERHASILAN GRADUAN TVET NEGARA
AYER KEROH 11 Julai – Kadar kebolehpasaran graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka kekal antara tertinggi di negara ini, iaitu sekitar 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri memperkasa ekosistem pendidikan, latihan dan industri sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Pencapaian itu membuktikan pendekatan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor industri berjaya melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.
“Antara bukti paling jelas ialah pencapaian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang merekodkan kadar bekerja graduan sebanyak 97.9 peratus pada 2024, sebelum meningkat kepada 99.2 peratus pada 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, kejayaan itu turut disokong menerusi penglibatan aktif pemain industri yang menjadi rakan strategik dalam menyediakan latihan, pendedahan industri serta peluang pekerjaan kepada graduan TVET.
“Melaka kini merekodkan sebanyak 408 pemain industri daripada 18 sektor utama yang bekerjasama dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan dunia pekerjaan.
“Kerjasama ini memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran praktikal dan kompetensi yang diperlukan industri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Melaka kini sedang membangunkan tiga lagi kawasan perindustrian strategik yang dijangka menjana lebih 50,000 peluang pekerjaan kepada anak Melaka dalam sektor pembuatan dan industri berkaitan.
“Inisiatif ini akan membuka ruang lebih luas kepada graduan TVET untuk menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


