
TOK RAUF TITIP LIMA PESANAN BUAT ANAK MUDA
AYER KEROH 11 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menitipkan lima pesanan penting kepada anak muda supaya tidak hanyut dengan arus kecerdasan buatan (AI), sebaliknya menjadikan integriti, akhlak dan nilai kemanusiaan sebagai pegangan dalam memanfaatkan teknologi.
Pesanan itu merangkumi integriti, amanah dan tanggungjawab, sikap rendah hati serta kesediaan untuk terus belajar, menghormati sesama manusia dan berkhidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, AI boleh dimanfaatkan sebagai pemangkin kemajuan, namun ia tidak seharusnya digunakan untuk menipu atau menggantikan pertimbangan serta nilai yang menjadi asas pembentukan sahsiah seseorang.
“Anak-anak muda perlu pegang pada lima perkara. Pertama, integriti, jangan gunakan AI untuk menipu kebijaksanaan. Kedua, amanah dan tanggungjawab. Hasil yang kita keluarkan dengan bantuan AI tetap menjadi tanggungjawab kita. Kita kena sentiasa semak sama ada fakta itu betul atau tidak.
“Ketiga, rendah hati dan belajar berterusan. Dunia bergerak begitu cepat, jadi kita perlu sentiasa belajar untuk kekal relevan.
“Keempat, hormati manusia kerana AI tidak boleh menggantikan kasih sayang ibu bapa, bimbingan guru atau nilai persahabatan dan kepimpinan serta kelima berkhidmat kepada masyarakat iaitu gunakan AI untuk menyelesaikan masalah orang, bukan sekadar untuk kepentingan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TVET Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Beliau berkata, ilmu menjadikan seseorang itu bijaksana, manakala AI menjadikan manusia lebih pantas, namun akhlak tetap menjadi penentu arah dan tujuan dalam menggunakan teknologi tersebut.
“AI tidak mempunyai perasaan, hati nurani atau tanggungjawab. Sebab itu kita masih perlu menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk menilai, membuat keputusan dan menentukan hala tuju, khususnya sebagai peneraju dunia TVET pada masa hadapan.
“Dalam dunia yang sedang berubah dengan kemunculan AI, nilai-nilai kehidupan adalah benteng terakhir yang membezakan manusia dengan mesi,” katanya.
Ab Rauf berkata, AI boleh meniru gaya percakapan dan menghasilkan pelbagai bentuk kerja, tetapi ia tidak mempunyai hati, perasaan dan tidak benar-benar memahami apa yang betul atau salah.
“Sebab itulah nilai seperti amanah, integriti, hormat, belas kasihan dan disiplin menjadi semakin penting, malah mungkin lebih penting berbanding sebelum wujudnya AI,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


