
ENAKMEN BAHARU BERKAITAN TERNAKAN BERKELIARAN PERUNTUK HUKUMAN LEBIH BERAT
SERI NEGERI 13 Julai – Kerajaan Negeri akan menggubal enakmen baharu bagi memperketat penguatkuasaan terhadap pemilik haiwan ternakan termasuk memperberat hukuman bagi menangani masalah ternakan berkeliaran.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun Melaka sudah mempunyai Undang-Undang Kecil Perlesenan Haiwan Terbiar namun hukuman sedia ada amat ringan.
“Dua perkara yang kita telah rancang dan sedang dilaksanakan iaitu akan menguatkuasakan undang-undang lebih ketat.
“Cadangan kita adalah untuk menggubal enakmen bagi memperketatkan dan memberatkan hukuman. Antara draf yang kita lakukan adalah menetapkan hukuman mengikut jenis kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil Perlesenan Haiwan Ternakan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 yang menetapkan pemasangan kod QR pada haiwan ternakan.
“Kod QR ini diwajibkan bagi haiwan ternakan lembu kerbau yang menjadi syarat perlesenan. Selepas Januari 2027 kita akan kuatkuasakan yang mana haiwan ternakan tidak ‘ditagging’ akan dikenakan kompaun, selain dianggap sebagai haiwan berkeliaran,” katanya.
Jelas beliau, sehingga Jun hampir 4,500 haiwan ternakan sudah pasang kod QR manakala Kerajaan Negeri menyasarkan menjelang Disember kira-kira 32,000 ekor haiwan ternakan sudah dipasang kod QR.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


