Sorting by

×

RAKYAT MELAKA PUAS HATI INISIATIF WRUR, BERI SKOR LEBIH 90 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang mula dilaksanakan Januari tahun lalu terbukti menjadi antara inisiatif yang mendapat penerimaan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, hasil Kajian Kepuasan Pelanggan yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat, tahap kepuasan rakyat menerima skor antara 85.3 peratus hingga 98.8 peratus.

Beliau yang juga Pengerusi Penyelaras Program WRUR menjelaskan, kajian itu dilakukan pada 21 siri WRUR yang telah dilaksanakan dengan penglibatan lebih 100,000 responden.

“Dapatan kajian menunjukkan tahap kepuasan melebihi 90 peratus bagi kebanyakan indikator yang dinilai, sekali gus membuktikan penerimaan yang amat positif daripada rakyat terhadap pelaksanaan program ini.

“Pencapaian ini sekali gus mencerminkan penerimaan dan keyakinan yang tinggi daripada masyarakat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN – Serkam) kaedah mengukur keberkesanan program WRUR pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, sepanjang pelaksanaan WRUR, sebanyak 4,034 aduan telah diterima daripada masyarakat, di mana daripada jumlah itu, sebanyak 2,782 aduan atau 68.96% telah berjaya diselesaikan, manakala baki 1,252 aduan masih dalam tindakan oleh jabatan dan agensi berkaitan.

“Ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan penilaian secara berkala dan menyeluruh bagi mendapatkan analisis maklum balas rakyat, selain turut memantau pelaksanaan program serta status penyelesaian aduan.

Jelas beliau, pendekatan itu bertujuan memastikan Program WRUR sentiasa relevan, berkesan dan berimpak tinggi, di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan serta memenuhi keperluan penduduk setempat secara lebih menyeluruh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post 4 PAM DI MASJID TANAH BERFUNGSI, BERKESAN KURANGKAN RISIKO BANJIR BESAR
Next post ENAKMEN BAHARU BERKAITAN TERNAKAN BERKELIARAN PERUNTUK HUKUMAN LEBIH BERAT