
4 PAM DI MASJID TANAH BERFUNGSI, BERKESAN KURANGKAN RISIKO BANJIR BESAR
SERI NEGERI 13 Julai – Projek Rumah Pam di Taman Bandar Baru Masjid Tanah kekal menjadi antara benteng penting dalam menangani masalah banjir di pekan Masjid Tanah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Jelas beliau, musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di Masjid Tanah pada Sabtu lalu bukanlah disebabkan kegagalan pam tersebut berfungsi, sebaliknya, ia adalah disebabkan taburan hujan melebihi paras biasa.
Atas faktor itu, ujar beliau, empat pam yang disediakan tidak dapat menampung kapasiti air untuk dikeluarkan ke sungai berhampiran pada kadar biasa.
“Meskipun begitu, pam ini tetap memberikan impak cukup baik apabila berjaya mempercepatkan air surut, khususnya di kawasan terjejas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, sehari sebelum bencana banjir berlaku, beliau bersama kepimpinan negeri telah mengadakan lawatan di rumah pam tersebut yang siap dibina pada Februari tahun ini.
Ujar beliau, dengan kewujudan rumah pam itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, ia telah memberi impak dengan mengurangkan risiko banjir sehingga 70 peratus sepanjang tahun ini.
“Ia bukanlah bermaksud banjir tidak berlaku, namun secara dasar mengikut data dan rekod ia dapat mengurangkan banjir seperti contohj jika sebelum ini banjir boleh berlaku empat kali dalam setahun, namun dengan pam ini, ia dapat mengurangkan impak banjir kepada hanya sekali setahun,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


