Sorting by

×

MELAKA TIDAK BERDIAM DIRI, RANGKA LANGKAH TERBAIK ATASI BANJIR BERULANG

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Masalah banjir berulang yang melanda di beberapa kawasan di sekitar Tanjung Minyak dan Bukit Rambai dibneri perhatian serius Kerajaan Negeri, termasuklah mencari langkah penambahbaikan terbaik demi rakyat terjejas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pentadbiran beliau tidak pernah berdiam diri dalam isu-isu rakyat di seluruh negeri dan akan terus mendengar keluhan serta mengkaji kaedah terbaik, khususnya membabitkan masalah bencana alam seperti banjir.

Jelas beliau, kajian terperinci dan cadangan penyelesaian akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan masalah banjir berulang yang berlaku di beberapa kawasan dapat dinoktahkan.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan Exco berkaitan perubahan iklim bersama agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain mengenai cadangan dan keperluan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan tersebut.

“Saya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir dan telah turun padang mendengar sendiri keluhan serta pandangan mereka bagi membolehkan hanya langkah terbaik dapat dilakukan bagi mengatasi masalah yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut meminta semua agensi dan jabatan berkaitan bencana alam untuk sentiasa bersiap siaga, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu dan perubahan iklim yang tidak dijangka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post MELAKA TUMPU USAHA TINGKAT PERTUMBUHAN TRAFIK UDARA LTAM 
Next post 4 PAM DI MASJID TANAH BERFUNGSI, BERKESAN KURANGKAN RISIKO BANJIR BESAR