
MELAKA TUMPU USAHA TINGKAT PERTUMBUHAN TRAFIK UDARA LTAM
SERI NEGERI 13 Julai – Kerajaan Negeri memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan kesalinghubungan udara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) melalui pembukaan laluan penerbangan domestik dan antarabangsa baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sepanjang tempoh itu fokus utama LTAM adalah mengekalkan standard operasi, keselamatan dan tahap perkhidmatan lapangan terbang bagi menyokong pertumbuhan trafik udara.
Katanya, usaha itu akan diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MoT), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), agensi pelancongan, syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan.
“Pendekatan ini sekali gus dijangka meningkatkan jumlah penumpang dan merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota laksamana) mengenai perancangan LTAM dalam masa lima tahun akan datang pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurutnya, LTAM direka dengan kapasiti sehingga 0.5 juta penumpang setahun, namun operasi semasa masih berada di bawah kapasiti reka bentuk.
Katanya, sebanyak 39,222 penumpang direkodkan menggunakan LTAM sepanjang tahun 2025 dan berdasarkan unjuran MAHB, lapangan terbang itu hanya dijangka mencapai kapasiti reka bentuk dalam jangka panjang.
“Setakat ini tiada perancangan untuk melaksanakan pembangunan fizikal utama seperti pembesaran terminal atau pemanjangan landasan kerana kapasiti sedia ada masih mencukupi untuk menampung operasi semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


