
BUKAN SEKADAR PENYOKONG SETIA, 54 SRIKANDI BISTARI PENGGERAK KEBAJIKAN RAKYAT MELAKA
SERI BENDAHARA 14 Julai – Pertubuhan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Wanita Negeri Melaka (BISTARI) disifatkan sebagai tulang belakang kepada usaha kebajikan dan kemasyarakatan, sekali gus menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, masyarakat lazimnya hanya melihat wakil rakyat yang sering menjadi perhatian umum, namun tidak ramai menyedari individu yang sentiasa berada di belakang sebagai penyokong paling setia, selain turut turun padang mendengar denyut nadi rakyat.
Menurut beliau, seramai 54 srikandi BISTARI memainkan peranan besar di lapangan dengan menggerakkan pelbagai program kebajikan dan memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima perhatian sewajarnya.
“Bagi saya, saudari-saudari sekalian merupakan kekuatan di lapangan yang menggerakkan pelbagai usaha kebajikan serta melengkapkan ikhtiar Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan BISTARI Negeri Melaka Kali Ke-43, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BISTARI Negeri Melaka Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi BISTARI Negeri Melaka Datin Hartinee Ibrahim; Setiausaha BISTARI Negeri Melaka Datin Ernie Aidilia Karim serta ahli-ahli BISTARI.
Ab Rauf berkata, sepanjang tahun lalu BISTARI telah melaksanakan hampir 20 program kebajikan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada 564 penerima dengan jumlah sumbangan melebihi RM62,000.
Katanya, meskipun angka tersebut mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun impaknya cukup besar kepada rakyat yang menerima bantuan.
“Di sebalik hampir 20 program yang dilaksanakan, ada keluarga yang dibantu, ada warga emas yang disantuni, ada anak-anak yang menerima perhatian dan ada rakyat yang kembali yakin bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


