
PETANI, PENTERNAK TERJEJAS BANJIR DIMINTA LAPOR KEROSAKAN
SERI NEGERI 13 Julai – Petani dan penternak yang terjejas akibat banjir diminta segera melaporkan kerosakan dialami mereka kepada Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka bagi membolehkan Kerajaan Negeri menilai serta menyalurkan bantuan sewajarnya.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penternak dan petani yang terjejas diminta untuk membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum tampil membuat laporan kepada jabatan berkaitan bagi melengkapkan proses dokumentasi sebelum penilaian kerosakan dilakukan.
“Apabila laporan diterima wakil jabatan akan turun ke lapangan untuk melihat dan menilai jumlah kerosakan yang dialami oleh penternak serta petani.
“Kita kemudian akan memohon (peruntukan) berdasarkan data yang diperoleh sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri. Kebiasaan peruntukan daripada Kerajaan Negeri akan mengambil masa yang singkat berbanding Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, perkara itu meliputi semua penternak dan petani termasuk mereka yang menjalankan aktiviti pertanian berskala kecil.
“Proses ini bagi memastikan jabatan berkaitan bagi memastikan data yang lengkap dapat diperolehi. Masih ada penternak dan petani yang tidak berdaftar, sekali gus menyukarkan Kerajaan Negeri terutamanya mendapatkan maklumat tepat terutama apabila berlaku bencana yang memerlukan penyaluran bantuan atau pampasan.
“Sebarang isu berkaitan kerugian akibat banjir akan diteliti melalui perbincangan bersama jabatan berkaitan bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai demi menjaga kebajikan petani dan penternak yang terjejas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


