Sorting by

×

KOMPLEKS SUKAN MINI JASIN DIJANGKA SIAP 2028, KONTRAKTOR PENYELAMAT DILANTIK SEPTEMBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Jasin yang terbengkalai sejak Disember 2023 dijangka dapat diteruskan semula penghujung tahun ini, dengan sasaran siap sepenuhnya pada 28 Jun 2028.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, projek berkenaan pada asalnya bermula pada 12 April 2021 dan dijadualkan siap pada 29 April 2024, namun tidak dapat diteruskan selepas kontraktor gagal menyiapkan kerja mengikut jadual ditetapkan.

Menurut beliau, susulan kegagalan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengeluarkan Notis Pengambilan Kerja Kontraktor pada 13 Disember 2024 bagi membolehkan proses pelantikan kontraktor penyelamat dilaksanakan.

“Ketika ini, baki kerja pembinaan yang perlu disiapkan adalah sekitar 26 peratus, melibatkan komponen struktur, kerja-kerja arkitektural, sistem mekanikal dan elektrikal serta infrastruktur luaran.

“Berdasarkan penilaian kos semasa, keseluruhan projek ini kini dianggarkan berjumlah RM16.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN – Rim) mengenai status terkini projek Kompleks Sukan Mini Jasin pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Shanmugam, proses pelantikan kontraktor penyelamat berdepan beberapa cabaran apabila proses tender semula sebanyak dua kali sebelum ini gagal dimuktamadkan.

“Tender pertama telah dipulangkan pada Disember 2025, manakala tender kedua yang dibuka pada 31 Januari 2026 pula tidak berjaya kerana tiada petender yang memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perancangan semasa menetapkan projek itu akan ditender semula pada 31 September 2026 sebelum melalui proses perolehan dan kelulusan berkaitan.

“Sekiranya proses tender dan pelantikan kontraktor berjalan lancar, kerja-kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan semula pada 28 Disember 2026 dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan dan sasaran siap pada 28 Jun 2028,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post KONVENSYEN PIBG KOMITMEN MELAKA BENDUNG ISU SEKSUAL LIBAT KANAK-KANAK
Next post MELAKA SERIUS CARI SOLUSI TANGANI ISU BABIT PELARIAN ROHINGYA