Sorting by

×

MELAKA SERIUS CARI SOLUSI TANGANI ISU BABIT PELARIAN ROHINGYA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap semua cadangan dan pandangan dikemukakan oleh semua pihak bagi mencari penyelesaian lestari dalam menangani isu pelarian Rohingya terutama yang melibatkan kes jenayah di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti perkembangan isu terbabit menerusi perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebelum ini isu tersebut telah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong dan di bawa ke perhatian Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini, beberapa negara maju menerima kira-kira 500 pelarian setiap tahun untuk penempatan semula warga Rohingya namun proses tersebut terjejas susulan krisis peperangan di Timur Tengah sehingga mengurangkan peluang penempatan mereka.

“Disebabkan itu juga, terdapat dalam kalangan mereka yang menjalankan aktiviti tanpa kelulusan dan pelanggaran undang-undang, bukannya disebabkan status mereka pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Aleef Yusoh (PN-Sungai Udang) mengenai isu Rohingya yang terlibat dengan jenayah dan bersabit insiden di Sungai Udang mencetuskan kebimbangan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menjelaskan tindakan yang diambil terhadap Rohingya yang berlaku dibuat berdasarkan pelanggaran undang-undang dan bukannya disebabkan status mereka sebagai pelarian.

“Namun, terdapat dalam kalangan mereka yang menjalankan aktiviti tanpa kelulusan sehingga melanggar tatakelola dan undang-undang negara.

“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah kerana kesalahan jenayah dan pelanggaran undang-undang, bukannya disebabkan status mereka sebagai pelarian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

238
Kongsi :
Previous post KOMPLEKS SUKAN MINI JASIN DIJANGKA SIAP 2028, KONTRAKTOR PENYELAMAT DILANTIK SEPTEMBER INI
Next post BENDUNG SALAH LAKU PELAJAR, SETIAP SEKOLAH WAJIB ADA PETI ADUAN