Sorting by

×

BENDUNG SALAH LAKU PELAJAR, SETIAP SEKOLAH WAJIB ADA PETI ADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kerajaan Negeri mewajibkan semua sekolah di Melaka menyediakan peti aduan sebagai saluran selamat kepada pelajar untuk melaporkan isu disiplin dan salah laku tanpa rasa takut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peti aduan itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada pelajar yang berdepan masalah atau mengetahui berlaku salah laku untuk membuat aduan secara sulit tanpa bimbang dikenakan tindakan.

Menurutnya, peti aduan itu hanya boleh dibuka oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memastikan setiap aduan dikendalikan secara telus dan berhemah.

“Kadang-kadang murid tahu perkara buruk yang berlaku, tetapi mereka takut hendak mengadu dan mereka takut kepada guru atau warden sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) mengenai penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi menangani isu disiplin dan keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, setiap aduan diterima akan diteliti sebelum pelajar terlibat dipanggil secara peribadi untuk sesi kaunseling dan bimbingan mengikut kesesuaian.

“Selain itu Kerajaan Negeri bersama JPN turut menubuhkan pasukan petugas khas (task force) yang menjalankan lawatan serta pemeriksaan mengejut di asrama sekolah bagi memantau aspek disiplin dan kebajikan pelajar.

“Hasil pemeriksaan kita dapati terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian dan kita memperkenalkan satu garis panduan bagi memastikan pemantauan terhadap pelajar dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Isu disiplin seperti ini memang ada, namun kita tidak akan berhenti mencari jalan penyelesaian dan memperkukuhkan usaha bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post MELAKA SERIUS CARI SOLUSI TANGANI ISU BABIT PELARIAN ROHINGYA
Next post DUN MELAKA LULUS USUL LANTIK TIDAK LEBIH TUJUH ADUN LANTIKAN