
KONVENSYEN PIBG KOMITMEN MELAKA BENDUNG ISU SEKSUAL LIBAT KANAK-KANAK
SERI NEGERI 14 Julai – Kerajaan Negeri memandang serius peningkatan risiko jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja dengan memperkukuh kerjasama melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu menjadikan Melaka sebagai negeri pelopor dalam menganjurkan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menghimpunkan semua Yang Dipertua PIBG untuk membincangkan kaedah terbaik untuk menangani isu membimbangkan itu.
Katanya, pendekatan pencegahan awal menjadi keutamaan bagi memastikan murid dan pelajar sekolah diberi pendedahan mengenai jenayah seksual, aspek perundangan serta langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku sesuatu kejadian.
“Kita memandang serius perkara ini kerana keterbukaan dunia digital hari ini, pengaruh luar memasuki rumah dan memberi kesan kepada anak-anak.
“Justeru, peranan ibu bapa dalam aspek asuhan dan pemantauan perlu dipertingkatkan supaya anak-anak ini tidak mudah terpengaruh atau tersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN- Bemban) mengenai kes jenayah melibatkan penyamaran polis, ragut dan jenayah seksual yang dilaporkan di negeri ini pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, konvensyen tersebut menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada YDP PIBG mengenai langkah pencegahan awal, pendidikan berkaitan jenayah kanak-kanak serta kefahaman terhadap warga sekolah.
“Usaha itu diharapkan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada kanak-kanak melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, sekolah dan penguatkuasa negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


