
PPRS: 134 PERMOHONAN BINA BAHARU, BAIK PULIH RUMAH DILULUSKAN DI MELAKA TAHUN INI
SERI NEGERI 14 Julai – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan sebanyak 134 permohonan bina baharu dan baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) pada tahun ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia membabitkan sebanyak 15 permohonan bina baharu dan 119 baik pulih rumah di seluruh negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM3.56 juta.
Daripada jumlah itu, ujar beliau, sebanyak tujuh permohonan bina baharu dan 56 permohonan baik pulih telah diluluskan oleh KKDW di daerah Alor Gajah pada tahun ini.
“Selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri terus memainkan peranan yang proaktif sebagai pemudah cara dengan memperakukan permohonan yang layak kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan PPRS di bawah KKDW.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap setiap permohonan yang dikemukakan oleh rakyat. Sehubungan itu, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, KKDW, Pejabat Daerah dan Tanah, wakil-wakil rakyat serta agensi pelaksana akan terus diperkukuhkan bagi memastikan proses semakan, perakuan dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN – Taboh Naning) mengenai permohonan bina baharu dan baik pulih rumah di bawah KKDW bagi DUN Taboh Naning pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus mengemukakan permohonan-permohonan yang layak kepada KKDW agar lebih ramai rakyat Negeri Melaka dapat menikmati manfaat PPRS pada masa akan datang.
“Dengan komitmen berterusan semua pihak, diharapkan usaha ini bukan sahaja dapat menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada golongan yang memerlukan, malah mampu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, mengurangkan kadar kemiskinan serta memperkukuhkan agenda pembangunan sosial Negeri Melaka yang inklusif dan mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


