Sorting by

×

GAJI GURU KAFA MELAKA ANTARA TERTINGGI DI MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kadar gaji minimum RM1,750 sebulan diterima guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Melaka menjadikan negeri ini antara yang menawarkan bayaran tertinggi kepada golongan pendidik agama.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan kadar bayaran itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri menghargai peranan guru KAFA dalam membentuk sahsiah dan pendidikan agama generasi muda.

Menurutnya, Melaka kini mempunyai seramai 1,464 guru KAFA yang berkhidmat di 196 Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Dua tahun lepas kita telah menaikkan gaji mereka menjadi gaji minimum RM1,750. Untuk makluman, gaji yang kita berikan ini antara tertinggi dalam Malaysia kerana ada negeri yang hanya membayar gaji guru KAFA sekitar RM1,000 sahaja.

“Insya-Allah mungkin tahun depan, sekiranya tidak membebankan dari segi kewangan, kita akan melihat kemungkinan untuk menaikkan lagi gaji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Faizah Abd Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai usaha Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan guru KAFA SRA JAIM pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Rahmad berkata, selain peningkatan gaji, pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memastikan kebajikan guru KAFA terus terpelihara.

Katanya, antara inisiatif diperkenalkan ialah pemberian sagu hati sebanyak RM1,600 secara sekali bayar kepada guru KAFA wanita yang melahirkan anak.

“Ini kerana sebelum ini guru KAFA yang bersalin tidak menerima sebarang elaun atau gaji ketika tempoh tersebut, namun kerajaan negeri mengambil inisiatif memberikan sumbangan khas kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, guru KAFA turut diberikan kemudahan cuti selama 10 hari bagi menunaikan ibadah umrah dan boleh memohon cuti tambahan tanpa elaun sekiranya tempoh berkenaan tidak mencukupi untuk melaksanakan ibadah tersebut atau haji.

Selain itu, katanya, mereka juga layak memohon cuti tanpa rekod (CTR) melibatkan cuti peristiwa, cuti gantian terhad selama empat hari, cuti kuarantin menjaga anak sakit atau diri sendiri serta keluarga selama lima hari, cuti kecemasan am dan cuti kematian ahli keluarga terdekat selama dua hari.

“Guru KAFA juga layak memohon cuti sakit tidak melebihi 15 hari, menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang diberikan Kerajaan Negeri setiap tahun serta kemudahan surat jaminan hospital bagi kegunaan rawatan dan kemasukan ke wad,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1079
Kongsi :
Previous post RM1.25 JUTA NAIK TARAF KK BUKIT RAMBAI, TINGKATKAN KESELESAAN RAKYAT
Next post WRUR MERLIMAU: MAIM UKIR SENYUMAN DI WAJAH ASNAF