Sorting by

×

WRUR MERLIMAU: MAIM UKIR SENYUMAN DI WAJAH ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

MERLIMAU 14 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited membela kebajikan asnaf dan ia dizahirkan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Usaha itu diterjemah MAIM menerusi Badan Sukarelawan Al-Taqwa bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang melaksanakan Program Gotong-Royong Kasih Asnaf di kediaman Zainap Mamat di Kampung Merlimau Pantai, di sini, pada Ahad.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, program tersebut melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan kediaman bagi memastikan keluarga asnaf itu mendiami persekitaran rumah yang lebih selesa, bersih dan kondusif.

Menurut MAIM, aktiviti yang dijalankan termasuk mengemas kawasan sekitar rumah, memotong rumput, membersihkan bahagian dalam rumah serta mengecat semula kediaman bagi memberikan suasana yang lebih ceria dan berseri.

Selain itu, sukarelawan MAIM turut menggantikan tikar getah yang telah usang dengan yang baharu demi keselesaan penghuni rumah.

Bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan keluarga berkenaan, beberapa keperluan asas dan perabot turut disumbangkan, antaranya katil, tilam, almari pakaian, singki serta meja makan.

Selain itu, sumbangan wang tunai dan kit makanan turut disampaikan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad bagi meringankan beban keluarga asnaf tersebut.

Program berkenaan turut membuktikan komitmen berterusan MAIM dalam memperkasakan agenda kebajikan dan kesejahteraan ummah melalui pendekatan turun padang serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Pada masa sama, ia juga menjadi saksi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan asnaf terus dibela dan disantuni secara menyeluruh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post GAJI GURU KAFA MELAKA ANTARA TERTINGGI DI MALAYSIA
Next post KOPERASI MELAKA DIDEDAHKAN KEPADA AI, TIKTOK SHOP MENERUSI SEMINAR E-COMMERCE